KUALA LUMPUR, 25 Oktober - 5,352 penduduk terjejas banjir daripada 1,722 keluarga di Perak, Kedah dan Pulau Pinang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 6 pagi.
Menurut laporan dikeluarkan Pusat Bencana Negara, jumlah keseluruhan penduduk terjejas di Perak menunjukkan peningkatan kepada 2,920 penduduk daripada 993 keluarga.
"Kesemua mereka ditempatkan di 26 PPS melibatkan daerah Larut, Matang dan Selama (19), Manjung (4), Kerian (2) dan Perak Tengah (1).
"Kedah turut mencatatkan peningkatan jumlah penduduk terkesan dengan 1,421 orang kini berlindung di 13 PPS melibatkan daerah Kulim (8), Baling (3) Pokok Sena dan Kuala Muda masing-masing sebuah PPS," jelas kenyataan tersebut.
Kenyataan sama turut memaklumkan penduduk terjejas banjir di Pulau Pinang kekal dengan 1,011 orang ditempatkan di tujuh PPS.