fb fb fb fb fb

Mesyuarat bersama Menteri Luar, Ekonomi ASEAN berlangsung hari ini

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bermula pada Ahad ini/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Mesyuarat Bersama Menteri Luar dan Menteri Ekonomi ASEAN akan diadakan hari ini, untuk menyelaraskan keutamaan strategik antara kedua-dua sektor menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bermula pada Ahad ini.

Sesi bersama itu dijangka mencapai kata sepakat tentang keberhasilan utama dan memperkukuh koordinasi merentasi tonggak komuniti ASEAN, mencerminkan komitmen badan serantau itu terhadap perpaduan dan kesepakatan dalam menghadapi cabaran global yang kompleks.

Mesyuarat yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu menghimpunkan menteri dan pegawai kanan semua negara anggota ASEAN, Timor-Leste, Sekretariat ASEAN dan pakar daripada Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF), ketika pemimpin serantau mula tiba untuk menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, kekal yakin bahawa sinergi lebih erat antara tonggak luar negara dengan ekonomi akan meningkatkan kapasiti blok berkenaan bagi menangani isu merentasi bidang daripada kemudahan perdagangan dan galakan pelaburan, kepada keselamatan serantau dan hubungan antara rakyat.

Terdahulu, turut berlangsung Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-30 dan Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) ke-37.

Agenda hari ini juga akan menyaksikan Timor-Leste mencatat satu lagi langkah bersejarah ke arah keanggotaan penuh ASEAN, dengan Majlis Penyerahan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dijadualkan berlangsung.

Satu lagi majlis penandatanganan berasingan akan mengesahkan kemasukan Finland dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), sekali gus menegaskan komitmen negara itu terhadap prinsip asas ASEAN, iaitu keamanan, sifat berkecuali dan penglibatan berasaskan dialog.

Di luar acara berkenaan, Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 turut berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), menyediakan platform untuk pemimpin perniagaan serantau dan global bertukar-tukar pandangan mengenai teknologi, strategi pertumbuhan dan integrasi serantau.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt, di bawah Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN buat kali kelima sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas memegang jawatan berkenaan pada 2015, 2005, 1997 dan 1977. -BERNAMA

SITI AISHA MELISA YUHANIZ