BINTULU, 24 Oktober - Program MySejati MADANI disifatkan sebagai pemangkin utama dalam memperkasa komuniti luar bandar agar mampu menjana pendapatan sendiri serta meningkatkan taraf hidup secara berterusan.
Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bo berkata, pelaksanaannya memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk meneroka pelbagai bentuk bantuan dan peluang keusahawanan.
Jelasnya, inisiatif itu turut menekankan kepentingan kerjasama pelbagai agensi dan pihak berkepentingan termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi memastikan komuniti luar bandar dapat terlibat secara aktif dalam aktiviti ekonomi berasaskan sumber tempatan.
"Sejati MADANI ini adalah satu perkara yang penting seperti KK Johnny beritahu, untuk menolong menjana pendapatan kita, dengan adanya Sejati MADANI, yang dibantu oleh kerajaan pusat, kita boleh menjana pendapatan bulanan kita dan seterusnya mengambangkan usaha JKKK" ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Santai Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Islam Daerah Bintulu 2025 di sini anjuran Jawatankuasa Kerja Ketua Kaum Islam Daerah Bintulu (JKKKIDB), malam tadi.
"JKKK memainkan peranan penting dalam membantu komuniti melalui pelbagai aktiviti ekonomi termasuk membuka gerai jualan semasa program anjuran Pejabat Daerah atau Jawatankuasa Islam setempat", tambahnya.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan agar setiap tindakan JKKK sentiasa mengikut saluran pentadbiran yang betul dengan merujuk terlebih dahulu kepada penghulu dan pemancar sebelum sesuatu isu dibawa ke peringkat lebih tinggi.