SEREMBAN, 16 Jun- Seorang lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan kes penipuan pakej haji membabitkan tiga beranak di Mantin, Nilai.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, suspek berusia 67 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, semalam, selepas laporan polis dibuat keluarga mangsa di Balai Polis Mantin.
"Kita menyeru mana-mana mangsa yang terlibat dalam pakej penipuan haji untuk tampil ke hadapan dan membuat laporan polis.
"Perkara ini bagi mengenal pasti semua mangsa-mangsa terlibat termasuk syarikat dan individu di sebalik kes penipuan haji ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Ulang Tahun PVATM Ke 103 dan Perhimpunan Agong PVATM Ke 99 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat mangsa lain yang turut terlibat.
Dalam pada itu seorang lagi lelaki turut direman selama empat hari selepas disyaki terlibat dalam kes penipuan pakej haji melibatkan sekumpulan jemaah warga emas yang didakwa dikurung di Arab Saudi baru-baru ini.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 60 tahun itu dikeluarkan Majistret Fairuz Syuhada Amran di Mahkamah Majistret Seremban bermula hari ini hingga 19 Jun.