KUALA LUMPUR, 16 Jun - Jalur Gemilang, Jata Negara dan lagu Negaraku.
Tiga simbol negara ini bukan sekadar lambang kerajaan Malaysia tetapi mencerminkan jati diri serta kecintaan rakyat terhadap tanah air.
Ke arah memperkukuh pengetahuan serta kesedaran dalam kalangan pengamal media mengenai makna dan nilai simbol kebangsaan ini, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) menganjurkan 'Forum Khas Menyanjung Lambang Kebesaran Negara: Tanggungjawab Setiap Warganegara'.
Forum dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan lambang kebesaran negara merupakan asas maruah dan kedaulatan negara yang perlu dipelihara dengan penuh rasa hormat serta tanggungjawab oleh setiap warganegara.
"Hari ini, kita ingin mengingatkan semua mengenai pentingnya menjaga sensitiviti sebagai negara berdaulat terutama dalam penggunaan bendera dan lambang kebesaran negara.
"Terdapat banyak kes penyalahgunaan simbol ini, sama ada oleh media atau individu. Oleh itu, Kementerian Komunikasi berhasrat untuk menyedarkan rakyat tentang tanggungjawab kita bersama dalam memartabatkan dan menghormati lambang kebesaran negara," katanya kepada media selepas forum tersebut di Dewan Cendekiawan IPPTAR.
Sementara itu, Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin menegaskan pengamal media memikul tanggungjawab besar dalam menjaga dan menyampaikan makna serta nilai lambang kebesaran negara dengan penuh hormat dan kesedaran.
"Oleh itu, barisan pengarang, penyunting dan wartawan perlu memastikan kesilapan yang memalukan diri dan negara termasuk paparan Jalur Gemilang yang salah tidak berulang lagi," ujarnya.
Forum berkenaan menghimpunkan lebih 100 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, pengamal media dan individu berkepentingan dalam bidang komunikasi dan kenegaraan.