fb fb fb fb fb

JLKN teliti alasan kegagalan calon PLKN 3.0 siri 2 gagal lapor diri

Foto fail BERNAMA

AYER KEROH, 16 Jun- Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sedang menilai dan meneliti alasan kegagalan calon Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2 2025 melaporkan diri bermula 11 Mei lalu.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, laporan berkenaan akan dibentangkan kepada Kementerian Pertahanan dalam tempoh terdekat sebelum tindakan susulan diambil.

Perkara itu susulan kehadiran peserta yang terpilih mengikuti PLKN siri 2 adalah wajib dan tertakluk bawah Bahagian Undang-Undang selaras dengan Seksyen 18 (1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).

"Tetapi secara asasnya mereka yang telah dipilih wajib untuk mendaftar kerana ia termasuk dalam akta untuk memastikan pendaftaran itu. Tetapi sekiranya ada individu yang mempunyai justifikasi untuk tidak hadir ke program ini, mereka boleh maklumkan kepada pihak kita untuk membuat penilaian.

"Kita tidak benarkan ketidakhadiran tanpa sebab kerana program ini dibangunkan untuk membina jati diri terutama dalam kalangan belia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Seramai 1,000 veteran, balu dan waris Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Melaka dan Negeri Sembilan dianugerahkan pingat terbabit.

Sebanyak 48,346 warga veteran ATM yang memenuhi syarat telah menerim PJM setakat Mac lalu sejak dikoordinasikan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM pada Mac 2004.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI