fb fb fb fb fb

Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia akibat serangan jantung

Allahyarham Nor Azamuddin Ahmad meninggal akibat serangan jantung - Foto FB Dato' Setia Dr Naim

KUALA LUMPUR, 15 Jun - Seorang lagi jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci Mekah semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kematian jemaah bagi musim Haji 1446H/2025M adalah 15 orang.

Menerusi kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan, Allahyarham Nor Azamuddin Ahmad berusia 56 tahun dari penerbangan KT073 telah kembali ke rahmatullah pada pukul 5.10 petang waktu tempatan akibat serangan jantung.

Allahyarham menetap di Bangunan Marsa Al Jariah, Maktab 81 (PJH - Mahabbateen) ditemani isteri, Rozina Saad.

"Pihak Tabung Haji telah menguruskan pengesahan kematian dan memaklumkan berita pemergian kepada waris di tanah air dan segala urusan jenazah akan diselesaikan oleh petugas haji di sana," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada waris serta keluarga jemaah haji yang meninggal dunia.

"Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum, semoga dikurniakan ketabahan dan kekuatan atas ujian ini.

Marilah kita semua mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin," tambah beliau.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM