fb fb fb fb fb

Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia

MEKAH, 22 Jun- Seorang lagi jemaah haji Malaysia dilapor meninggal dunia pada 19 Jun lalu menjadikan angka kematian sehingga kini seramai dua orang.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, kematian jemaah wanita itu dilaporkan di Hospital King Faisal disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru.

Jemaah wanita berusia 75 tahun itu dari Selangor.

"Saya dan pengurusan tertinggi Tabung Haji (TH) menyampaikan takziah kepada ahli kelluarga di tanah suci dan tanah air. Pihak TH akan melaksanakan badal haji untuk kedua-dua Almarhumah ini, Insyallah," katanya.


(Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar)

Pada 4 Jun lalu, seorang jemaah haji wanita dari Raub, Pahang berusia 57 tahun juga dilapor meninggal dunia di pusat rawatan TH akibat kegagalan jantung.

Kedua-dua jenazah dikebumikan di tanah perkuburan syariee, Mekah.

Sementara itu, semua 31,600 jemaah haji Malaysia telah tiba di Mekah, melalui 98 penerbangan sejak 21 Mei hingga semalam.

Kumpulan jemaah yang terakhir seramai 299 orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah, malam tadi waktu Arab Saudi.

Semua jemaah kini ditempatkan di 9 maktab di Mekah, sementara menunggu waktu berwuquf di Arafah pada 8 Zulhijah iaitu pada Isnin depan.

Dr Mohd Na’im berkata semua persiapan menjelang operasi masyair di Arafah, Mudzalifah serta Mina telah siap.

"Semua diingatkan untuk patuhi peraturan kerajaan Arab Saudi dan ikut arahan petugas TH. Pihak kami akan sentiasa pantau isu berkaitan keselamatan di tanah suci dari semasa ke semasa," katanya pada sesi ramah mesra bersama jemaah haji Malaysia di Abraj Jenadriah.

Media Baharu