fb fb fb fb fb

PADU mudahkan salur subsidi bersasar ikut kumpulan pendapatan

(FOTO RTM)

KUALA LUMPUR, 22 Jun-Pangkalan Data Utama (PADU) yang sedang dibangunkan kerajaan bakal memudahkan penyaluran subsidi bersasar mengikut kumpulan pendapatan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib memaklumkan sidang dewan Negara, PADU akan mengintegrasikan seluruh pangkalan-pangkalan data kerajaan secara berpusat.

"PADU akan mengandungi profil maklumat individu dan isi rumah rakyat Malaysia.

"Di samping itu, PADU turut merangkumi pemboleh ubah seperti demografi, pendapatan pekerjaan, status, lokasi dan negeri dan rekod-rekod lain yang berkaitan sebagai rujukan sahih bagi pelaksanaan subsidi bersasar", katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Zurainah Musa mengenai penambahbaikan kumpulan pendapatan yang akan mengambil kira faktor kos sara hidup di luar bandar dan bandar mengikut negeri.

Mei lalu, kerajaan bakal membangunkan sebuah pangkalan data utama (PADU) bagi mengumpul seberapa banyak maklumat sosio ekonomi isi rumah sekali gus membantu kerajaan mengagihkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PADU akan menjadi penyelaras data antara agensi-agensi sedia ada termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Anwar dilaporkan turut berkata PADU akan mengumpul maklumat di peringkat isi rumah yang meliputi bilangan isi rumah, rekod pendapatan, tanggungan anak mengikut peringkat pendidikan, lokasi dan bilangan kenderaan.

PADU bakal diguna pakai bermula tahun hadapan.


(Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib/FOTO BERNAMA)

Media Baharu