fb fb fb fb fb

Seorang daripada 21 mangsa letupan mercun Kulim dirujuk ke Hospital Pulau Pinang

Jabatan Kecemasan Hospital Kulim

ALOR SETAR, 24 Oktober- Lima daripada 21 mangsa yang cedera dalam kejadian letupan mercun ketika sambutan perayaan Deepavali di Paya Besar, Lunas, Kulim, Kedah pada 20 Oktober lalu telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan susulan di hospital.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah memaklumkan, seorang mangsa yang mengalami kecederaan di kepala masih dirawat di Hospital Pulau Pinang selepas dirujuk ke hospital berkenaan.

"Lima mangsa dimasukkan ke wad Hospital Kulim untuk rawatan lanjut akibat kecederaan dengan tiga daripadanya telah selamat menjalani pembedahan. Kini kelima-lima mereka telah dibenarkan pulang dengan rawatan susulan," menurut JKN Kedah dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, 15 lagi mangsa yang mengalami kecederaan ringan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kulim.

"JKN Kedah bersimpati dengan apa yang berlaku kepada mangsa dan mendoakan mereka yang cedera segera sembuh," menurut kenyataan.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 34 tahun dan seorang wanita berusia 23 tahun telah direman bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Siasatan awal mendapati, suspek lelaki yang berada dalam keadaan mabuk telah membeli mercun jenis kelapa bernilai RM200 di sebuah khemah jualan berhampiran sebelum meletakkannya ke dalam sebuah silinder di tepi jalan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA