fb fb fb fb fb

Kekuatan ASEAN terletak pada semangat perpaduan dan konsensus

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri yang juga Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM), Datuk Amran Mohamed Zin/RTM

KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Kekuatan sebenar ASEAN terletak pada keupayaannya untuk terus berkembang sebagai komuniti serantau yang dinamik, sambil kekal berpaksikan kepada prinsip asas perpaduan, konsensus dan saling menghormati.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri yang juga Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM), Datuk Amran Mohamed Zin menegaskan semangat kerjasama dan persefahaman yang menjadi tunjang ASEAN selama lebih lima dekad perlu terus diperkukuh bagi memastikan rantau ini kekal stabil, makmur dan berdaya tahan menghadapi cabaran global.

“Pencapaian-pencapaian ini mengingatkan kita bahawa kekuatan ASEAN terletak pada keupayaannya untuk terus berkembang sambil kekal berpaksikan prinsip asas penubuhannya — perpaduan, konsensus dan saling menghormati.

“Saya yakin dengan semangat kerjasama dan persefahaman yang menjadi tunjang ASEAN, kita akan dapat menyediakan satu set syor yang boleh dibawa oleh para pemimpin kita dengan keyakinan dan tujuan yang jelas.

“Ketika kita bersiap untuk menyerahkan tanggungjawab kepimpinan, kita melakukannya dengan rasa bangga terhadap pencapaian bersama dan keyakinan mendalam terhadap asas kukuh yang telah kita bina bersama. Marilah kita terus membawa semangat kerjasama ini ketika melangkah ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan mesyuarat pegawai kanan ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Dalam pada itu, Datuk Amran turut menyentuh dua detik penting yang bakal diraikan pada sidang kemuncak kali ini iaitu kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN, serta ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Menurutnya, kedua-dua peristiwa bersejarah itu mencerminkan keupayaan ASEAN untuk terus berkembang secara inklusif, di samping memperkukuh peranannya sebagai pusat kestabilan dan kerjasama strategik di rantau ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN