KUALA LUMPUR, 24 Oktober- Malaysia kini berada di peringkat akhir rundingan bagi memeterai perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perkara itu akan disahkan menjelang lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Ahad ini.
"Rundingan kini berada di peringkat akhir, dan saya boleh sahkan bahawa ia akan dimuktamadkan pada hari Ahad ini. Bagi Malaysia, rundingan ini telah pun berjalan, dan kita akan lihat sama ada sebarang perjanjian dapat dimuktamadkan atau ditandatangani semasa lawatan Presiden Trump ke Malaysia, " katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Tambah beliau, rundingan mengenai tarif Amerika Syarikat itu dijangka dijalankan secara dua hala bersama Washington dengan setiap negara, termasuk negara-negara ASEAN.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat telah mencapai “suatu bentuk kesimpulan”.
Perkara itu sekaligus memberi bayangan perbincangan berkenaan hampir selesai.