ALOR SETAR, 24 Oktober- Jumlah penduduk terjejas banjir dan ombak besar di Kedah terus meningkat kepada 910 orang daripada 285 keluarga setakat pukul 12.00 tengah hari ini, berbanding 258 orang daripada 90 keluarga pagi tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan turut meningkat daripada empat kepada tujuh lokasi dengan tiga PPS baharu dibuka di daerah Kulim manakala satu kekal beroperasi di Kuala Muda.
Di Kulim, PPS baharu ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) Isaniah Jangkang yang menempatkan 423 orang daripada 118 keluarga, Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Museh (199 orang daripada 67 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Sungai Karangan (22 orang daripada lapan keluarga).
Selain itu, PPS sedia ada turut menempatkan penduduk terjejas di Surau Taman Sang Kancil (96 orang daripada 28 keluarga), Dewan Surau Kampung Paya Tok Betok, Sungai Ular (16 orang daripada tiga keluarga) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Min (102 orang daripada 37 keluarga).
Kawasan terjejas di Kulim melibatkan sembilan kampung iaitu Kampung Seberang Sungai, Kampung Paya Tok Betok, Kampung Seberang Jaya, Kampung Kemuting, Kampung Banggol Penyengat, Kampung Manggis, Kampung Baru, Kampung Sungai Karangan dan Kampung Kuala Benut.
Sementara itu, di daerah Kuala Muda, PPS SJKC Chong Cheng Tanjung Dawai kini menempatkan 52 orang daripada 24 keluarga dari Kampung Huma yang terjejas akibat ombak besar.