KUALA LUMPUR, 24 Oktober – ASEAN dijangka mencapai kadar penyelesaian hampir 90 peratus bagi pelaksanaan Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 menjelang Disember tahun ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata negara anggota ASEAN telah mengarahkan semua badan sektoral memastikan pelaksanaan inisiatif sedia ada diselesaikan sepenuhnya menjelang tarikh berkenaan.
Menurutnya, ASEAN kini sedang meneliti cadangan daripada Kajian Penilaian Menyeluruh Pelan Induk AEC 2025, selain bersetuju dengan langkah-langkah untuk memperkukuh keupayaan institusi dan menangani keutamaan strategik serantau.
“Melangkah ke hadapan, bagi memastikan pelaksanaan inisiatif AEC dan Rancangan Strategik AEC 2026–2030 dapat dilaksanakan dengan berkesan dan praktikal, kita sedang membangunkan kerangka serta sistem pemantauan dan penilaian (M&E) berasaskan hasil, memperkukuh keupayaan tinjauan strategik, serta menambah baik mekanisme penyelarasan sedia ada,” katanya selepas menghadiri mesyuarat AEC.
Tambah beliau, ASEAN juga akan terus menerima pakai dokumen Penunjuk Hasil Utama (Key Outcome Indicators), Senarai Aktiviti Disatukan, dan Senarai Kejayaan Cepat (Quick Wins).
Selain itu, ASEAN turut memperkukuh Sistem Statistik Komuniti ASEAN bagi meningkatkan kualiti data dan statistik ekonomi, khususnya dalam menyokong pelaksanaan serta pemantauan Rancangan Strategik AEC.
Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) merupakan rancangan strategik untuk mengintegrasikan ekonomi negara anggota, bagi menjadikan rantau ini sebagai pasaran tunggal dan pusat pengeluaran yang berdaya saing.
Langkah ini termasuk usaha meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, menarik rakan dagang baharu, serta memacu pembangunan ekonomi digital dan mampan.