GUA MUSANG, 12 Februari - Seorang pesara guru menggunakan bakat seninya menjadikan lukisan cat air sebagai punca pendapatan sejak di bangku sekolahan.
Bermula sekadar hobi di masa lapang, Mohd. Ariffin Mohd. Nawi, 63 tahun berkata minatnya itu tidak menjadi sia-sia apabila bakatnya itu menjadi sumber pendapatan untuk ahli keluarganya kini selepas bersara.
Sehingga kini, dia telah menghasilkan 1,000 lukisan cat air, lukisan cat minyak, lukisan cat dan tulisan khat.
Katanya, bagi mengekalkan hasil lukisan yang berkualiti dan cantik, dia sentiasa berkarya selepas mendapat idea dari tempat yang dikunjungi.
"Lukisan cat air ini dia satu teknik memerlukan satu orang guru sebenarnya kalau kita belajar tanpa guru lukisan itu tidak berkualiti,tetapi macam mana pun saya lukis dengan cara saya sendiri.
"Pemandangan kadang-kadang saya guna masa empat hari untuk siapkan satu lukisan tetapi tidak sampai ke petang atau malam," katanya.
Ariffin berkata, biarpun banyak jenis lukisan seperti mural dan lukisan tiga dimensi berada di pasaran, lukisan cat air miliknya tetap mendapat permintaan tinggi kerana dihasilkan mengikut kehendak pelanggan dengan harga yang berpatutan.