KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Orang ramai diingatkan untuk berhati-hati dan tidak memainkan isu kaum, agama dan insititusi raja (3R), terutama di platform media sosial, sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata perkara itu penting, kerana ia boleh menggugat perpaduan yang telah lama terjalin dan dipupuk sejak awal kemerdekaan dan penubuhan Malaysia.
Katanya, pemantauan akan terus dilaksanakan bagi mengelakkan salah laku dan pelanggaran undang-undang untuk memelihara keharmonian negara.
Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut.
"Kita ada terima aduan dari semasa ke semasa yang agak membimbangkan, aspek 3R itu bagi saya isu agama dan perkauman dan seperti yang telah saya ulas sebelum ini Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada unit pemantauan dan sekiranya ada keperluan untuk memanggil mana-mana pihak maka ia akan dilakukan dengan segera.
"Di pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga ada unit pemantauan yang akan bekerjasama dengan rapat dan telah ditambah kekuatannya dan saya percaya dua unit ini akan buat pemantauan dan tindakan tegas sekiranya perlu," kata Fahmi, di sini.
(Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ditemui media pada
Majlis Pelancaran Hari Kebangsaa, Hari Malaysia dan Kembara Merdeka Jalur Gemilang
(KMJG) 2023)
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian PRN enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
Ketika ditemui pemberita, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata setakat ini, media sosial terutama TikTok, belum mempunyai sistem ‘social media listening tool’ yang boleh meneliti dan memantau kandungan tertentu, seperti 3R.
Justeru, beliau berkata pemantauan kandungan ketika ini lebih bersifat manual, bagi mencari ciri-ciri kandungan tertentu.