fb fb fb fb fb

INSAN Takaful manfaatkan tiga juta rakyat Selangor beragama Islam

(Datuk Seri Amirudin (dua dari kiri) melancarkan Skim Insan Takaful di Pusat Konvensyen Bangi ,hari ini)

BANGI, 4 Ogos- Seramai tiga juta rakyat Selangor yang beragama Islam akan menerima manfaat menerusi program Insurans Am Selangor (INSAN Takaful) yang dilancarkan hari ini.

Ia merupakan kesinambungan daripada Program Insan Konversional tahun lalu yang menawarkan perlindungan insurans kemalangan diri berkumpulan secara percuma.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, skim ini telah ditambah baik dengan menitikberatkan elemen patuh syariah di mana premium insurans akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).

"Program ini lahir setelah kita melihat pengalaman COVID-19 jadi apabila melihat ramai rakyat kita tidak dilindungi kehidupan mereka dan keluarga terancam selepas episod kematian yang tidak dijangkakan. Jadi sebagai langkah yang lebih agresif dan proaktif, kerajaan melindungi paling tidak kalau ada kemalangan atau pun kematian yang diakibatkan kemalangan jalan raya terutamanya keluarga paling tidak akan dilindungi menerusi inisiatif yang dicipta dan diusaha oleh pihak kerajaan," katanya.


(Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari)

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skim Insan Takaful di Pusat Konvensyen Bangi, di sini hari ini.

Tambah Amirudin, skim itu turut memberi perlindungan sehingga RM10,000 untuk kematian dan hilang keupayaan kekal disebabkan kemalangan.

Manakala tambahan RM1,000 juga diberikan bagi kes tuntutan yang melibatkan kematian bagi tujuan pengebumian.

Sebanyak tiga juta pelan perlindungan disediakan melalui skim ini yang mempunyai nilai perlindungan sebanyak RM30 bilion dengan kos RM9.54 juta.

Skim Insan Takaful juga ditambah baik dari segi tambahan perlindungan sebanyak RM20,000 bagi kemalangan di luar negara serta tuntutan RM50 sehari sehingga 30 hari bagi kemasukan wad sama ada hospital kerajaan atau swasta akibat kemalangan.

Bagi rakyat Selangor beragama Islam yang sebelum ini telah berdaftar dan dilindungi polisi konversional akan dilindungi secara automatik ke polisi takaful selepas tamat tempoh perlindungan.

Pendaftaran baharu INSAN Takaful boleh dilakukan bermula hari ini manakala tempoh perlindungan selama 12 bulan dari tarikh pendaftaran dan pengaktifan polisi.

Media Baharu