fb fb fb fb fb

Lebih 17,000 pegawai, anggota dan pasangan Tentera Darat terlibat undi awal

(Foto BERNAMA)

KOK LANAS, 4 Ogos- Tentera Darat telah membuat persiapan awal mengatur pegawai dan anggotanya bagi membantu pihak berkuasa awam melancarkan proses pengundian awal Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN ke-15) pada 8 Ogos ini.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata perkara itu telah diselaraskan oleh setiap kepimpinan briged dan mereka juga telah berhubung dengan pihak polis sekiranya khidmat pasukan itu diperlukan.

"Penugasan tersebut melibatkan 27 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di empat buah negeri iaitu masing-masing enam di Kelantan dan Kedah, lapan di Terengganu dan tujuh di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Penutup Eksesais Keris Strike Siri 28/2023 di Kem Desa Pahlawan di sini.

Dalam perkembangan sama, Tengku Muhammad Fauzi berkata lebih 17,000 pegawai, anggota dan pasangan Tentera Darat dijangka akan mengundi pada hari pengundian awal Selasa ini.

Beliau berharap seluruh anggota mampu melunaskan tanggungjawab mereka sebagai warganegara untuk memilih kerajaan yang terbaik.

Lebih 3,000 pegawai dan anggota Tentera Darat serta 414 anggota 'United States Army Pacific Command' (USARPAC) menyertai siri latihan yang berlangsung selama tiga minggu sejak 17 Julai lalu.

Pelaksanaan eksesais kali ini diadakan dengan skala yang lebih besar berbanding sebelum ini bertujuan meningkatkan tahap pengetahuan anggota dalam fasa peperangan konvensional di samping perkongsian idea dan pengalaman.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu