fb fb fb fb fb

Jangan ambil rasuah, sentiasa jaga integriti - Tengku Hassanal

(Foto Fail: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah/ BERNAMA)

PEKAN, 4 Ogos- Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memohon agensi penguatkuasaan di Pahang bertindak tegas dalam usaha memastikan alam sekitar, flora dan dan fauna di Pahang sentiasa terjaga.

Malah, baginda bertitah agensi terlibat perlu menjalankan penguatkuasaan dengan bersungguh- sungguh dan dilarang mengambil rasuah serta sentiasa menjaga integriti.

"Saya ada bersama anda, jangan risau. Jangan ambil rasuah dan sentiasa jaga integriti, jika ada yang jual nama sembahkan kepada saya. Tiada yang kebal daripada undang-undang, yang salah tetap salah, tidak kira kerabat, orang politik mahupun rakyat. 

"Kepada semua ahli kerabat, segala projek berbentuk usaha sama dengan kerabat negeri lain mesti mendapat perkenan saya terlebih dahulu...begitu juga kepada semua ahli politik, projek pembangunan perlu disembah maklum dan mohon perkenan daripada saya," titah baginda. 

Selain itu, Tengku Hassanal bertitah Kerajaan Persekutuan perlu mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Negeri Pahang terlebih dahulu berhubung sebarang projek pembangunan. 

"Kepada Jabatan Alam Sekitar pula, saya mahu laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) disembah maklum terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat. Kesemua isu dan projek yang disembah maklum akan saya sembahkan ke sisi ayahanda (Al-Sultan Abdullah) untuk mendapat perkenan," titah baginda. 

"Saya mahu prosedur ini terus dilaksanakan walaupun ketika saya menjadi Tengku Mahkota semula agar semua pembangunan yang dirancang akan memberikan manfaat yang terbaik kepada rakyat dan alam sekitar kekal lestari," titah baginda. 

Tengku Hassanal bertitah demikian semasa menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pengurnian Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang bersempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke - 64 Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, di sini hari ini. 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis santapan yang berlangsung selepas istiadat pengurniaan.


(Tengku Hassanal pada Istiadat Pengurnian Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan hari ini)

Pada istiadat itu, seramai 104 individu menerima darjah kebesaran dan pingat Pahang.

Mendahului senarai ialah Pengerusi FOMEMA Sdn Bhd, Tengku Abu Bakar Ahmad Al-Marhum Tengku Arif Bendahara Tengku Abdullah yang menerima darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, bersama-sama Jurulatih Eksekutif, Fasilitator dan Pelatih Pengurusan, Datuk Rizdwan Abdullah @ Chander Naidu.

Antara lain yang menerima pingat dan gelaran sama adalah  Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Zulkifli Yaacob, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi.



Media Baharu