(Foto fail)
PUTRAJAYA, 7 Mac- Semua pihak termasuk ahli politik perlu akur dengan ketetapan pihak berkuasa agama negeri untuk melarang sebarang ceramah berbaur politik di masjid.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, larangan itu turut terpakai buat Perdana Menteri dan Menteri Besar.
"Yang dilarang oleh sultan dan majlis-majlis agama itu kuliah politik oleh orang-orang politik. Ini termasuk Perdana Menteri dan di Perak Menteri Besar maklumkan MB pun tak dibenarkan berucap di masjid.
"Jadi untuk menjadikan ini arena politik tak dibenar malah di depan Tuanku Sultan Selangor saya sebut Tuanku Sultan Selangor dah buat keputusan itu sebelum menemui saya.
"Jadi bukan berunding dengan saya. Tetapi rasional yang dibuat oleh kerajaan negeri ini terlalu banyak adegan yang bicara soal agama yang terlalu keras jalur politiknya bab kepartian, jadi kalau dia tak setuju dia patut bawa memo persembah kepada Tuanku," kata Anwar
Tambahnya, masjid boleh terus diimarahkan dengan pelbagai program dan pengisian ilmu tetapi tidak boleh sesekali digunakan sebagai tempat menyebarkan agenda politik.
(Datuk Seri Anwar berkata semua pihak termasuk ahli politik perlu akur dengan ketetapan pihak
berkuasa agama negeri untuk melarang sebarang ceramah berbaur politik di masjid)