KUALA LUMPUR, 7 Mac- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang meneliti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dalam meningkat kadar denda kepada pesalah yang terlibat.
Jelas Timbalan Menterinya,Teo Nie Ching, kadar denda yang dikenakan pada masa kini adalah tidak setimpal.
"Memandangkan bahawa denda yang dikenakan ataupun kompaun yang dikenakan setakat ini tidak seimbang dengan kesalahan, jadi memang salah satu usaha di bawah KKD sekarang adalah kita sedang meneliti dan juga mengkaji semula hukuman denda di bawah Akta 709.
"Kompaun atau denda yang kita kenakan terhadap kes-kes kebocoran data peribadi boleh ditingkatkan lagi supaya kesedaran dan juga tanggungjawab diletakkan di atas syarikat-syarikat dan agensi-agensi adalah berat dan lebih besar," katanya.
Tambahnya lagi, CyberSecurity Malaysia (CSM) telah merekodkan 50 kes kebocoran data pada tahun 2022 dan tahun ini dari Januari hingga Februari, 49 kes telah berjaya dikesan.
(Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching)
Sehingga kini, lima kes telah didakwa di mahkamah dan didenda RM54,000.
Teo Nie Ching menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.