fb fb fb fb fb

Semua aduan tertunggak perlu diselesai dalam tempoh seminggu - KM Melaka

Foto FB KM

AYER KEROH, 16 Januari- Semua aduan tertunggak yang diterima jabatan dan agensi di bawah kerajaan negeri Melaka mesti diselesaikan dalam tempoh seminggu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata beliau menerima rungutan berhubung aduan yang telah disalurkan sejak sekian lama namun masih tiada penyelesaian sehingga kini.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada jabatan dan agensi berkenaan untuk menyelesaikannya segera, namun jika terdapat kekangan mereka perlu memberi maklum balas kepada pengadu.

Katanya, cara kerja penjawat awam perlu berubah mengikut peredaran masa dan kerajaan negeri ketika ini sudah bergerak untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat termasuk penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi dalam tempoh yang singkat.

"Aduan ini sebenarnya sudah dimaklumkan dan pengadu dah bertanya dalam sistem aduan kita. Saya mohon pegawai jawab aduan tersebut. Maklumat pengadu ada tertera dalam sistem, ada nombor telefon dan alamat. Jadi, tiada masalah.

Jangan biarkan perkara ini, dari tahun lepas sehingga sekarang," kata Sulaiman kepada pemberita RTM dalam sidang media selepas Majlis Amanat Penjawat Awam Negeri Melaka 2023 di Seri Negeri, di sini.


(Foto FB KM)

Katanya, penjawat awam juga perlu terus mengamalkan budaya kerja yang berintegriti dan bebas daripada sebarang salah laku dan salah guna kuasa.

Dalam pada itu, Datuk Seri Sulaiman berkata biarpun kerajaan negeri kini menekankan kepada digitalisasi dan e-kerajaan namun ia memerlukan keseimbangan supaya tidak menyusahkan rakyat khasnya golongan warga emas.

Media Baharu