fb fb fb fb fb

Belanjawan 2023, KPM harap bidang pendidikan terus diberi tumpuan

JOHOR BAHRU, 16 Januari- Kementerian Pendidikan (KPM) berharap pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Februari nanti akan terus memberi tumpuan kepada bidang pendidikan terutama melibatkan pembangunan sekolah di seluruh negara.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata selain isu bangunan sekolah daif, tumpuan juga diberikan kepada keperluan guru serta program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Isu melibatkan penyelenggaraan dan baik pulih kuarters guru turut diberikan perhatian pihak KPM bagi tahun ini.

"Kita kena faham naratifnya. Selalu orang ingat KPM ini perbelanjaan besar. Sebenarnya yang besar ada adalah kita punya pembayaran emolumen atau gaji, selebihnya adalah untuk pembangunan.

Jadi, kita perlu lihat dari semasa ke semasa penambahan itu, khususnya untuk mengurus dan menyelenggara sekolah," kata Fadhlina kepada pemberita RTM selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Perempuan Bandar Tinggi, di sini.

Turut diumumkan peruntukan RM500,000 kepada sekolah berusia 98 tahun itu yang daif, terutama melibatkan bangunan pentadbiran dan bilik guru.

Secara keseluruhan, lebih 300 projek sekolah daif di seluruh negara, dengan 12 daripadanya terdapat di Johor.


(Menteri KPM, Dr. Fadhlina Sidek bersama rombongan kementerian melawat SK (P) Bandar Tinggi dan mengumumkan
peruntukan bernilai RM500,000 bagi tujuan baik pulih dan penyelenggaraan sekolah)

Media Baharu