fb fb fb fb fb

Semangat kerjasama perkukuh perpaduan komuniti

KANGAR, 22 Oktober- Pelbagai pendekatan boleh dilaksanakan di peringkat kampung bagi mengangkat, menerap dan memperkukuh nilai murni serta semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat kata Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Titi Tok Bandar Mohammad Darus.

Penganjuran aktiviti seperti ceramah, aktiviti sukan, pelbagai pertandingan dan gotong royong dilihat sebagai medium memperkukuh perpaduan dalam kalangan komuniti.

Selain itu hubungan baik antara komuniti perlu dipertingkat bagi mengeratkan hubungan kemasyarakatan khususnya dalam kalangan generasi muda kerana setiap penduduk mempunyai tanggungjawab masing-masing dan saling memerlukan supaya permasalahan dapat diselesaikan.

"Permintaan daripada penduduk kampung untuk melaksanakan program-program sepeti ini semakin menggalakkan.

"Jadi insya-Allah kita bagi pihak persatuan akan cuba mencari peruntukan daripada kerajaan untuk kita melaksanakan program-program dan bercadang akan adakan beberapa program sampai hujung tahun ini," katanya kepada pemberita Program Bersama Komuniti di Dewan Orang Ramai, Kampung Titi Tok Bandar di sini.

Sempena program itu beberapa aktiviti dilaksanakan termasuklah ceramah kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, taklimat serta demontrasi pemadaman kebakaran dari pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sukaneka dan cabutan bertuah yang disertai kira-kira 200 penduduk.

Program dilaksanakan Persatuan Penduduk Kampung Titi Tok Bandar merupakan kerjasama Persatuan Sukan Motor Lasak Perlis.

(Mohammad Darus)

Media Baharu