
KUALA LUMPUR, 30 Januari- Kerjasama berpasukan menjadi pemacu utama kejayaan Bahagian Berita Ehwal Semasa (BES) dalam memastikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kekal relevan sebagai medium penyebaran maklumat kepada rakyat.
- Kerjasama berpasukan kukuh memacu kejayaan BES dan memastikan RTM kekal relevan sebagai penyampai maklumat kepada rakyat.
- Fokus pada kandungan ringkas dan mudah difahami membantu mesej dasar kerajaan diterjemah dengan jelas oleh orang ramai.
- Penghargaan dan acara dalaman mengeratkan hubungan kerja serta mengukuhkan semangat berpasukan dan komitmen kakitangan.
Pengarah BES, Md Shahri Saripan berkata pendekatan kerja berpasukan yang kukuh membolehkan penyampaian berita dan kandungan mikro dilaksanakan secara berkesan, sekali gus membantu rakyat memahami dasar-dasar kerajaan.
“Semua perlu bekerja secara bersatu padu dan komited supaya setiap kandungan berita ehwal semasa disiarkan dengan kualiti terbaik, sekali gus memberi imej positif kepada RTM serta negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan tumpuan BES ketika ini ialah pengukuhan penyebaran maklumat melalui kandungan berbentuk ringkas dan mudah difahami agar mesej berkaitan dasar kerajaan dapat diterjemah dengan jelas oleh rakyat.
Md Shahri ditemui pada majlis penghargaan Fly High Butterfly 2025 & 2026 yang berlangsung di Angkasapuri, Kota Media di sini, malam ini.
Menurutnya, penganjuran majlis berkenaan menjadi tanda penghargaan kepada warga kerja BES atas komitmen dan usaha berterusan menaikkan nama bahagian tersebut, selain berperanan sebagai platform mengeratkan hubungan serta semangat berpasukan dalam kalangan rakan sekerja.