fb fb fb fb fb

Semakan semula SST: Bukti kerajaan dengar suara rakyat, pemain industri - penganalisis

Pensyarah Fakulti Akaun, Bisnes dan Ekonomi Kolej Universiti i-CATS, Prof Dr Abu Sofian Yaacob / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 Jun - Semakan semula kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta peluasan skop cukai secara bersasar berkuat kuasa mulai esok, membuktikan bahawa kerajaan mendengar dan mengambil tindakan berdasarkan realiti rakyat dan suara industri.

Menurut Pensyarah Fakulti Akaun, Bisnes dan Ekonomi Kolej Universiti i-CATS, Prof Dr Abu Sofian Yaacob, penambahbaikan tersebut merupakan satu langkah penting mencerminkan pendirian Ekonomi MADANI yang inklusif dan progresif.

Beliau berkata, ia juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kos sara hidup seharian, cabaran perniagaan kecil, dan kesan langsung kepada pengguna serta penyedia perkhidmatan.

"Pengecualian cukai jualan ke atas buah import seperti oren, epal, limau mandarin dan kurma adalah satu langkah yang dialu-alukan disebabkan ia merupakan makanan asas harian rakyat dan sering menjadi tumpuan utama ketika musim perayaan.

"Seperkara lagi yang menarik ialah tentang kerajaan tidak meluaskan skop cukai terhadap perkhidmatan kecantikan dan penjagaan diri seperti rawatan kuku, wajah serta gunting rambut.

"Ini merupakan satu tindakan tepat dan bijaksana, memandangkan sektor itu kebanyakan terdiri daripada usahawan mikro dan juga wanita yang mengendalikan perniagaan kecil-kecilan dari rumah atau secara tidak formal," katanya ketika dihubungi RTM di sini, hari ini.

Abu Sofian berkata, sekiranya perkhidmatan berkenaan dikenakan cukai, ia akan memberi kesan kepada kemampuan pengguna selain menjejaskan kelangsungan perniagaan kecil tersebut.

Pada masa sama, beliau turut mengulas mengenai pengumuman kenaikan ambang pendaftaran cukai perkhidmatan daripada RM500,000 kepada RM1 juta setahun bagi perkhidmatan kewangan dan sewaan ataupun pajakan.

Katanya, tindakan tersebut wajar bagi memberi peluang kepada firma kecil seperti khidmat ejen penyewaan, penasihat kewangan bebas dan syarikat pengurusan hartanah untuk terus berkembang tanpa beban cukai awal.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ