fb fb fb fb fb

Program Jualan Rahmah MADANI: 50,000 pengguna dijangka terima manfaat

Pengerusi Perhubungan ANGKASA Negeri Perlis Dr Ammar Hassan

KANGAR, 30 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukkan sebanyak RM10 juta, bagi pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sepanjang tahun ini.

Program berkenaan akan dilaksana di kesemua 222 Parlimen seluruh negara termasuk di Perlis tiga kawasan Parlimen iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar.

Menerusi peluasan pelaksanaan di Perlis, seramai 50,000 pengguna disasarkan akan mendapat manfaat daripada program tersebut.

Pengerusi Perhubungan ANGKASA Negeri Perlis Dr Ammar Hassan berkata, sebanyak enam siri Program Jualan Rahmah MADANI akan diadakan di enam lokasi terpilih di negeri itu sepanjang tahun in.

"Kita harap semua kawasan sekitar datang supaya ia memberi kebaikan kepada dua pihak. Satu pengguna dapat jualan Rahmah, kedua pengeluar ini sebenarnya barang-barang daripada Angkasa kami pengeluar seluruh Malaysia. Koperasi-koperasi seluruh Malaysia yang menjadi pengeluar dan kita juga ada daripada kilang-kilang minyak, kilang gula pemasaran gula, barang-barang telur terutamanya. boleh datang ke jualan rahmah yang kami sediakan," katanya.

Beliau bercakap dalam Program Jualan Rahmah MADANI di Dataran Niaga Taman Sena Indah, anjuran ANGKASA Perlis dengan kerjasama KPDN yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

"Harga barang-barang di sini berpatutan dan ada diskaun lagi. Jadi kita harap pembeli-pembeli datanglah ke sini beramai-ramai untuk kita membelilah barang-barang yang harga berpatutan untuk kita semua nak menggunakannya," pengguna Che Lian Saad.

"Bagi saya ia banyak membantu bagi golongan B40 kerana depa boleh berjimatlah dengan harga yang berpatutan. Dan barang-barang keperluan boleh dibeli dengan lancarlah sebab harga dia itu kira mampu miliklah untuk golongan B40 ini," kata Rifhan Adelia Shaberi.

Pengguna ditawarkan lebih 47 jenis barangan keperluan asas pada harga yang berpatutan dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Selain menawarkan barangan asas pada harga rendah, Program Jualan Rahmah MADANI turut membuka peluang kepada koperasi memperkenalkan produk keluaran mereka kepada masyarakat, sekali gus memperkukuhkan kedudukan koperasi sebagai penyumbang kepada ekonomi negara.

TETITIA YUSOFF