fb fb fb fb fb

Salam Baitullah musim ke-17 raih hampir 5 juta tontonan

Majlis penutup program Salam Baitullah berlangsung di Hotel Mardhiyyah, di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM, 30 Jun - Program keagamaan terbitan RTM, Salam Baitullah musim ke-17 mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih hampir 5 juta tontonan secara keseluruhan.

Daripada jumlah itu, lebih 2.7 juta tontonan direkodkan melalui saluran TV1 manakala selebihnya, melebihi 2 juta tontonan dicapai menerusi platform digital RTM, termasuk RTMKlik.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menyifatkan, pencapaian itu sebagai hasil pembaharuan kandungan dan pendekatan penerbitan yang lebih segar serta inovatif.

Antara pembaharuan utama ialah penerapan teknologi tinggi termasuk elemen kecerdasan buatan (AI) dan paparan holografik berdefinisi tinggi seperti menerusi segmen Rehlah Haramain dan Muslim World yang menjadikan program lebih interaktif dan menarik.

“Kita juga ada segmen berbahasa Inggeris dan menemu bual wakil pelbagai organisasi dari luar negara. Ini menunjukkan kita bukan hanya fokus dalam negara, tetapi dengan adanya OTT seperti RTMKlik, penonton di luar negara juga boleh mengakses kandungan kita.

“Justeru, kita perlu mengantarabangsakan kandungan RTM dan itu adalah cabaran yang telah disahut oleh pasukan tahun ini. Untuk tahun hadapan, kita perlu fikir idea yang lebih hebat daripada sekarang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Program Salam Baitullah di Hotel Mardhiyyah, di sini, hari ini.

Tambah beliau, musim kali ini juga menyaksikan peningkatan ketara penyertaan dalam kuiz interaktif, terutama dalam kalangan golongan muda membuktikan program berkenaan relevan dan dekat di hati generasi baharu.

Dalam pada itu, Datuk Suhaimi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi RTM serta penaja yang menjayakan program tersebut.

"Tahniah kepada pasukan pada tahun ini yang pastinya telah memberikan informasi terbaik, meningkatkan syiar Islam dan teman setia rakyat Malaysia." katanya.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN