KUALA LUMPUR, 30 Jun - Pembangunan tenaga kerja penjagaan warga emas tempatan kini giat diperkukuh, dengan meningkatkan integrasi bidang penjagaan ke dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah tersebut sebagai usaha berterusan memenuhi permintaan penjagaan yang semakin meningkat, serta mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap penjaga asing.
"Inilah program yang sedang kita laksanakan. Ia sepatutnya dimulakan sejak dahulu lagi, tetapi kita tidak boleh terus menyesal. Sekarang yang penting, kita teruskan usaha ke hadapan," katanya dalam sidang media bersempena Persidangan ASEAN-Republik Korea mengenai Penjagaan dan Sokongan untuk Warga Emas di ibu negara.
"Perancangan seterusnya, insya-Allah, adalah untuk merekrut lebih ramai individu yang berminat. Kita perlu bekerjasama lebih erat dengan program TVET dalam bidang penjagaan ini.
"Saya rasa ini antara cara untuk meningkatkan kesedaran, terutama kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan agar sedar ia merupakan satu pekerjaan yang mulia," ujarnya.
Datuk Seri Nancy menambah, kerja penjagaan bukan sahaja bermakna dan berharga, tetapi juga menawarkan potensi pendapatan yang baik, dengan institusi-institusi kini mula mendekati kementerian bagi mendapatkan bakat tempatan.
Beliau turut memaklumkan kementerian sudah mula melatih dan meningkatkan kemahiran kakitangannya, dan kini berhasrat untuk meluaskan latihan serta pensijilan kepada orang awam.
"Kita mahu lakukan lebih banyak lagi. Kita mahu beri mereka kursus peningkatan kemahiran dan kelayakan yang lebih baik supaya mereka boleh menilai sijil atau ijazah mereka, dan menggunakannya untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik," katanya.
Datuk Seri Nancy turut menekankan keperluan membina tenaga kerja penjagaan tempatan yang mencukupi dan berdikari.
"Ada ramai rakyat di negara kita yang bergantung kepada tenaga kerja penjaga dari luar negara.
"Tetapi kita tidak mahu terus bergantung pada mereka. Sudah tiba masanya kita lahirkan tenaga kerja sendiri.
"Kita sedang berusaha ke arah ini, dan kita harap proses ini dapat dipercepatkan agar tenaga kerja penjagaan negara dapat berkembang dengan lebih pantas," katanya.