KUALA LUMPUR, 30 Jun - Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus dilantik memangku jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, berkuatkuasa esok.
Beliau menggantikan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang ditukarkan ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) selama dua tahun berkuat kuasa 1 Julai ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pelantikan Datuk Seri Shuhaily merupakan satu penghormatan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), diberi kepercayaan untuk mengetuai satu lagi agensi yang penting bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terkawal.
"Ini bukan satu perkara yang kecil , saya percaya satu amanah yang berat yang perlu dilaksanakan oleh beliau dan PDRM secara terbuka akan memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi memastikan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan padamasa yang akan datang," katanya kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan Jenayah di ibu negara.
Beliau berkata, majlis serah tugas seperti ini wajar diteruskan kerana memberikan kesan moral yang positif kepada seluruh warga pasukan PDRM.
"Ia sekali gus menunjukkan kepada masyarakat umum bahawa solidariti pasukan polis begitu baik dan utuh. Inilah yang diperlukan supaya semangat pasukan dapat kita bawakan bersama-sama dan insyaallah akan memberikan perkhidmatan terbaik bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kerajaan. Dalam memastikan semua agenda yang telah didepani akan dapat kita laksanakan dengan baik dan sempurna," katanya lagi.
Dalam pada itu, ketika berucap Datuk Seri Shuhaily menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua warga PDRM khususnya pasukan JSJ yang memberi dorongan dan sokongan sepanjang satu tahun 11 bulan menggalas jawatan Pengarah JSJ.
"Ini bukanlah selamat tinggal, tetapi jendela baharu dalam kerjaya saya. Sinergi di antara PDRM dan AKPS adalah pemangkin utama untuk menjayakan hasrat kerajaan dalam mengawal sempadan negara," katanya.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini, dimulakan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas antara Datuk Fadil dan Datuk Seri Mohd Shuhaily.