NILAI, 21 Jun - Pelaksanaan semakan dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan bermula 1 Julai memberi pulangan jangka masa panjang kepada rakyat.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berpandangan SST merupakan satu strategi fiskal yang wajar dilaksanakan dan berpotensi memperkukuh jaringan sosial seperti insentif tunai yang ditawarkan kepada rakyat.
"Ini adalah salah satu kaedah pelaksanaan untuk mendapatkan kewangan kembali kerajaan supaya lebih nampak berstruktur. SST ini dilaksana bersasar maknanya tidak akan memberi beban kepada masyarakat berpendapatan rendah dan juga sederhana.
"Ia juga melibatkan sektor perkhidmatan dan juga produk produk yang tertentu sahaja serta tidak akan mengganggu keperluan harian kita sebagai pengguna. Saya percaya ini merupakan salah satu kaedah kutipan yang akan memberi impak positif untuk dikembalikan semula kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM di sini.
Jelas beliau lagi, usaha kerajaan untuk terus komited memberi pendedahan dengan lebih terperinci mengenai pelaksanaan SST yang akan dilaksana bermula 1 Julai merupakan satu langkah yang baik bagi meningkatkan kefahaman dan mengelak kekeliruan rakyat.