KUALA LUMPUR, 21 Jun - Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengungguli dua emas dan dua perak pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2024 yang berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur malam tadi.
Dua pemenang emas diraih Nasionalfm dan MUTIARAfm, masing-masing bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik dan Dokumentari Radio Terbaik.
Bagi pemenang emas, Margaret Gambang menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil kerjasama sepasukan dalam menjayakan lintas langsung Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16.
"NASIONALfm beri dokongan sangat kuat kepada saya untuk berkarya. Sebenarnya kerja berkumpulan dalam NASIONALfm yang membawa kejayaan bagi nashkah ini. Ini bukanlah pengakhiran, akan ada lebih banyak karya bagus akan kami hasilkan selepas ini untuk pendengar NASIONALfm," katanya.
Manakala, Noorazizah Ibrahim yang dinobatkan sebagai pemenang emas menerusi karya "Duri Yang Melukakan" berkata kupasan terperinci mengenai isu AIDS menjadi kekuatan karya berkenaan.
"Apa saya ketengahkan dari segi homoseksual la. Kita perlu tangani dahulu dari akar umbinya. Bukan semata-mata jangkitan AIDS berlaku melalui pemindahan darah tetapi AIDS sekarang banyak merebak disebabkan LGBT.
"Selain itu, saya tak sangka menang sebab ramai terlibat (bertanding) pun ketengahkan karya berkualiti," jelas beliau.
Pemenang emas membawa pulang sijil, trofi dan wang bernilai RM10,000
Sementara itu, RTM turut berjaya membawa pulang dua perak bagi Kategori Dokumentari Radio Terbaik dan Dokumentari Video Terbaik.
"Sebenarnya bila kita menang, ia bukan semata-mata untuk diri kita sendiri sebab kita juga bawa (mewakili) nama jabatan kita. Jadi di kesempatan ini, saya nak ucap terima kasih kepada pengurusan Selangorfm, ini pencapaian membanggakan untuk Selangorfm," luah Nur Syahida Salim, pemenang perak.
Tidak menjangkakan kemenangan Perak, Nazatul Fareena Sheikh Md Rosli turut menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan karyanya berjudul Simfoni Alam: Kodok Pelangi Borneo.
"Kodok Pelangi Borneo merupakan spesies yang pernah pupus hampir 100 tahun. Bila kita jumpa kodok ini semula, kita buat liputan mengenainya.
"Ini percubaan pertama saya dalam MPI-PETRONAS, saya berharap boleh menang emas pula dan akan menghasilkan lebih banyak karya berkualiti pada masa akan datang," ujarnya.
Pemenang Perak membawa pulang sijil dan wang bernilai RM3,000
Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2024 menyaksikan penyertaan sebanyak 549 penyertaan daripada 58 organisasi media dari seluruh negara.
RTM secara keseluruhannya, berjaya menembusi enam kategori dalam penganjuran tahun ini.
Lebih seribu tetamu hadir pada HKM MPI-PETRONAS 2024 terdiri daripada Tokoh Wartawan, Pengarang Kanan, wartawan dan syarikat korporat.
Turut hadir pada acara gilang gemilang itu Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman yang menjadi antara penyampai anugerah kepada para pemenang.