KUALA LUMPUR, 21 Jun - Tiga lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci menjadikan jumlah keseluruhan kematian 19 orang setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan ketiga-tiga jemaah meninggal dunia akibat serangan jantung.
"Mereka ialah Abd Wahab Yahaya, 63, Mohamed Jafri Yahya, 60 dan Norizan Tarsi, 59 tahun.
"Abd Wahab, jemaah dari Telok Panglima Garang, Selangor menghembus nafas terakhir di Hotel Al-Mubarak, Shisha pada pukul 4:50 petang semalam akibat serangan jantung.
Manakala Mohamed Jafri dari Tanah Rata, Pahang meninggal dunia pada pukul 7:39 malam semalam di Hospital Jiwar, Makkah," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, jemaah ketiga, Norizan dari Butterworth, Pulau Pinang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6:45 pagi tadi di Abraj Al-Tayseer.
Pihak Tabung Haji telah menguruskan segala keperluan jenazah dengan sempurna mengikut hukum syarak termasuk pengurusan pengebumian di Tanah Suci.
Datuk Dr. Mohd Na’im menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga jemaah haji tersebut serta mendoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan para solihin, dikurniakan keampunan dan rahmat Allah.