KUALA LUMPUR, 26 Disember- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan ketika melakukan aktiviti laut.
Jelas Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin, mereka yang ingin melakukan aktiviti laut perlu menyemak ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia memandangkan keadaan laut ketika ini bergelora akibat Monsun Timur Laut.
"Semua pihak yang ingin ke laut perlu memakai jaket keselamatan semasa belayar, memancing atau sebarang kegiatan yang melibatkan pergerakan di laut.
"Pengusaha bot pelancong juga dinasihat supaya mematuhi semua peraturan dan undang-undang laut ditetapkan.
"Ini termasuk memastikan kapasiti maksimum penumpang dan pemakaian serta penyediaan jaket keselamatan yang mencukupi dengan jumlah penumpang," katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, orang ramai diminta menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri yang berhampiran sekiranya berlaku insiden kecemasan di laut.