fb fb fb fb fb

Seludup, seleweng barangan kawalan 392 individu ditahan

KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Sebanyak 392 individu termasuk 64 warga asing ditahan, kerana terlibat kegiatan penyeludupan barangan serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi, bagi tempoh Januari hingga semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Hazani Ghazali dalam satu kenyataan berkata kesemua mereka berusia 18 hingga 60 tahun itu ditahan dalam 165 serbuan di seluruh negara yang dilakukan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).

Dalam tempoh sama WCB/PSK telah merampas pelbagai barangan dianggarkan berjumlah RM215,565,308.87.

Hazani juga berkata WCB/PSK telah menumpaskan penyeludupan diesel dan ayam sejuk beku dalam 12 siri serbuan di seluruh negara antara 10 hingga 20 Oktober lepas.

(FOTO HIASAN)

"Menerusi empat serbuan Op Tiris, pihaknya menahan 12 lelaki termasuk seorang warga Myanmar berumur 20 hingga 48 tahun dan merampas diesel yang cuba diselewengkan bernilai RM1,468,321.

"Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan itu.

Hazani berkata dalam lapan serbuan OP Taring, WCB/PSK telah menahan seorang lelaki dan dua wanita Indonesia berusia 26 hingga 36 tahun serta merampas 54,515 kotak mengandungi 144 kilogram (kg) gula pasir, 880kg minyak masak dan ayam sejuk beku bernilai RM14,121,465.36.

Ketiga-tiga yang ditahan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Haiwan 2015.

Media Baharu