KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru pelajar anak Sarawak mempersiapkan diri dengan ilmu kemahiran bagi mengisi peluang yang diwujudkan kerajaan.
Jelasnya, Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat dan potensi sekaligus berupaya melatih barisan pelapis kepimpinan anak Sarawak.
"Yang lebih utama ialah untuk mereka memahami perancangan besar kerajaan negeri Sarawak dan bagaimana mereka sebagai seorang pelajar dapat memainkan peranan dan mengisi ruang dan peluang yang disediakan kerajaan.
"Misalnya kalau kita beralih kepada teknologi baharu, kita kita memerlukan tenaga mahir, tenaga mahir datang daripada mana? Kita bergantung harap kepada anak-anak muda kita yang belajar sekarang ini,"katanya.
Beliau ditemui media pada Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2023 di ibu negara hari ini.
Datuk Seri Fadillah merangkap Pengerusi Pengelola LBAS berkata lebih 100 agensi kerajaan, swasta dan NGO negeri Sarawak terlibat dalam penganjuran program edisi ke-14 kali ini.
Program turut dibuka kepada semua orang awam yang berminat untuk mendapatkan peluang pekerjaan, pendidikan, biasiswa serta jualan pameran produk Sarawak.