BINTULU, 21 Oktober - Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak N.67 berjalan lancar hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen yang diberikan calon dan penyokong parti dalam memastikan proses penamaan calon berjalan dengan baik.
Seramai 216 anggota dan Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan di Dewan Suarah di sini.
"Saya ucapkan terima kasih pada pemimpin dan calon kerana proses penamaan calon berjalan aman dan baik, untuk pagi ini kami menugaskan 216 pegawai dan anggota untuk memastikan proses penamaan calon lancar dan aman," kata Mohd Azman kepada media selepas proses penamaan calon PRK DUN Jepak di sini.
Mohd Azman turut menasihati agar calon dan penyokong bersikap matang sepanjang tempoh berkempen dan tidak berkongsi postingan tidak sahih yang boleh menimbulkan provokasi.