SHAH ALAM, 25 November - Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Program Selangor Kitar Semula (SELKitar) bagi mengangkat agenda kitar semula sekali gus memperkukuh usaha kelestarian alam sekitar di negeri itu.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata setakat Oktober lepas sebanyak 77,072 kilogram (kg) bahan kitar semula berjaya dikutip menerusi program itu melibatkan daerah Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Kajang, Selayang, Ampang dan Hulu Selangor.
"Program ini bukan program sendirian Kerajaan Negeri kerana kita ada beberapa rakan strategik yang membantu kita melaksanakan dan merangsangkan usaha ini.
"Mulai Oktober kita menyasarkan 200,000 isi rumah dengan tujuh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) berikut iaitu Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Kajang, Ampang, Selayang dan Hulu Selangor dan sehingga 31 Oktober, 77,000 kilogram bahan kitar semula telah berjaya dikumpul.
"Keseluruhannya sekarang ada lebih 412,000 isi rumah yang terlibat dalam program ini dan kita akan terus mempertingkatkan pencapaian dan usaha SELKitar ini di seluruh Negeri Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan SELKitar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan penyediaan insentif baharu kepada rakan strategik dan komuniti yang menyumbang kepada peningkatan kadar kitar semula negeri meningkat daripada 12 peratus kepada 16 peratus.
Hasil jualan bahan kitar semula serta kutipan caj plastik akan dimanfaatkan semula bagi membiayai operasi program itu.
Tahun 2024, sebanyak RM6 juta diperuntukkan dan program akan diperkukuh pada tahun hadapan meliputi elemen sisa elektronik atau e-waste dan peluasan ke semua daerah.
Program SELKitar dijangka menjadi tonggak utama pembentukan ekosistem kitar semula berasaskan ekonomi mampan di Selangor.