KUALA LUMPUR, 3 Mac - Industri halal akan terus diperkasa agar lebih berdaya maju dan kompetitif.
Sehubungan itu, Konvensyen Antarabangsa Halal Selangor (SELHAC) 2023 yang akan diadakan pada 10 hingga 12 Mac ini bakal mencipta peluang perniagaan yang lebih baik buat pemain industri halal di negara ini.
Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Zawawi Ahmad Mughni berkata konvensyen itu juga akan menjadi medan kepada pemain industri meluaskan perniagaan mereka.

"Mereka sekarang ini sedang mencari pasaran dan melalui SELHAC ini kita akan jadikan platform terbaik. Pertama ada program padanan perniagaan dimana kita mempertemukan antara pengeluar produk dengan pasaraya besar. Untuk mengerakkan ekonomi halal ini kita ada halal hub. Kami bekerjasama dalam usaha menjadikan Selangor sebagai negeri pilihan pelaburan terutama dalam industri halal.
"Beberapa misi ke luar negara untuk bertemu syarikat yang mempunyai pasaran dan potensi yang besar dan kita akan teruskan jaringan ini untuk memantapkan ekosistem halal di Selangor," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM.
Tambah Zawawi, industri halal tidak hanya berkait rapat dengan makanan, malah mencakupi skop lebih luas seperti produk kecantikan, farmaseutikal dan perubatan.
SELHAC yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur merupakan anjuran Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor.