BANGI, 12 Jun- Laporan siasatan kes penyelewengan dana sukuk bagi pembinaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang dijangka siap dalam masa sebulan atau dua bulan akan datang.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata siasatan itu sedang giat dijalankan dan melibatkan 53 saksi setakat ini.
Beliau berkata kesemua saksi itu telah selesai dirakam keterangan dan lebih ramai lagi saksi dijangka dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu melengkapkan siasatan.
"Kes ini akan mengambil masa sebulan atau dua untuk disiapkan kerana banyak perkara yang perlu dikaji serta dianalisis dokumen termasuk penyata kewangan," katanya pada sidang media selepas majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang‑Undang Bertauliah SPRM kali kedua di sini hari ini.
Azam berkata proses merakam keterangan seorang individu bergelar Tan Sri disambung hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM menyita pelbagai aset, termasuk beg tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai, dan kediaman mewah keseluruhannya dianggarkan kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri.
Dalam perkembangan lain, Azam menegaskan proses merakam keterangan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie dilakukan semalam di Jakarta dan bukan di Bali seperti yang dilaporkan.
Sebelum ini, dilaporkan pasukan penyiasat SPRM akan berada di Jakarta selama dua hari untuk mengambil keterangan pereka fesyen berumur 39 tahun itu, susulan siasatan terhadap pemilikan aset membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022. -BERNAMA