fb fb fb fb fb

Bridged Seni Kreatif agih 500 pek daging korban

Program Agihan Daging Korban Briged Seni Kreatif 2025 di perkarangan FINAS

HULU KELANG, 12 Jun- Bridged Seni Kreatif mengagihkan sebanyak 500 pek daging korban kepada pelbagai penerima termasuk persatuan perfileman bawah Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA).

Penerima lain termasuk persatuan Seniman, barisan artis veteran, ahli jawatankuasa Kebajikan Industri dan Bridged Seni Kreatif, Komuniti Kampung Kemensah serta warga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, program itu memperlihatkan peranan Briged Seni Kreatif sebagai pemangkin aktiviti-aktiviti sosial dan kebajikan dalam kalangan warga seni dan budaya.

"Insya-Allah kita ingin adakan program begini pada setiap tahun akan datang. Tahun ini FINAS bersama dengan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) menubuhkan Briged Seni Kreatif bawah naungan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

"Kita sentiasa peka dengan kebajikan industri selain aktiviti APM. Kita juga memberi sumbangan kepada individu seni seperti sumbangan yang kita lakukan hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan daging korban dalam Program Agihan Daging Korban Briged Seni Kreatif 2025 di perkarangan FINAS di sini hari ini.

Pada masa sama ia memperlihatkan usaha industri seni kreatif dalam memainkan peranan sosial, bukan hanya dalam ruang karya tetapi juga meliputi kesejahteraan masyarakat.

Ia sekali gus dapat menerapkan semangat Malaysia MADANI serta memberi ruang kepada warga seni dan agensi berkaitan untuk turut serta dalam usaha kebajikan dan kesukarelawanan.

Program berkenaan mendapat kerjasama Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Persatuan SENIMAN, GAFEMA (Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia) dan Colla Cattle Farm.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI