fb fb fb fb fb

Selesaikan segera isu RFID - Menteri

 

KUALA LUMPUR,17 Januari - PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dan syarikat Touch 'n Go Sdn Bhd (TnG) diarah perlu mencari jalan penyelesaian berhubung isu kesesakan yang dilaporkan berlaku di plaza tol seluruh negara berikutan pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata isu tersebut perlu diselesaikan secepat mungkin bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

“Saya telah hubungi mereka (PLUS dan TnG) selepas mendapat aduan, dan meminta mereka jelaskan kepada orang ramai serta cari penyelesaian…penyelesaian kepada segala isu berbangkit kepada pelaksanaan (RFID) ini,” katanya.

“Apabila ia projek rintis, ada beberapa perkara akan lalui dan perlu selesaikan,” kata Fadillah ketika ditemui media selepas meninjau pembukaan Jambatan Dengkil di FT31 (Jalan Banting-Semenyih) Seksyen 20.80 di sini hari ini

Tambah Fadilah pelaksanaan RFID itu adalah projek rintis yang masih mengekalkan lorong kad TnG dan SmartTag masih lagi dikekalkan untuk pengguna.

“Kita belum wajibkan untuk gunakan RFID dan ia terserah kepada orang ramai untuk gunakan,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa KKR akan sentiasa memantau perkara tersebut dan mengambil serius aduan, supaya ia tidak menyusahkan sebaliknya memberi kemudahan dan kesenangan buat pengguna.

"Di peringkat kementerian, kita akan terus memantau dan memastikan pihak PLUS dan Touch ‘n Go menyelesaikan apa sahaja isu yang berhubung kait penggunaan lorong RFID," tegasnya.

Tinjauan yang dilakukan beberapa agensi media melaporkan berlakunya kesesakan trafik yang teruk selepas sistem Identifikasi Frekuensi Radio (MyRFID) yang mula dilaksanakan pada 15 Januari.

Orang ramai turut mengeluh dan mengadu di media sosial kerana berlakunya kesesakan trafik di tol Bandar Seri Putra, Bangi pagi tadi.

Terdahulu, pelaksanaan transaksi tol menggunakan teknologi RFID adalah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi PLUS, dengan RFID dibekalkan oleh syarikat Touch N Go.

Ia merupakan projek rintis dengan sebelum ini RFID untuk kawasan dalam bandar sudah pun dilaksanakan, manakala mula dilaksanakan PLUS di peringkat Lebuhraya Utara-Selatan.

Media Baharu