fb fb fb fb fb

Hubungan diplomatik Malaysia-Laos diperkukuh menerusi kerjasama sektor ekonomi digital

KUALA LUMPUR, 17 Januari - Hubungan dua hala Malaysia-Laos terus diperkukuh menerusi kerjasama dalam sektor ekonomi digital.

Untuk itu, Malaysia bakal berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam aplikasi kerajaan digital, penyelesaian Teknologi Kewangan (FinTech), selain membangunkan Lao Digital Park dan FinTech Valley di Vientiane.

Menurut Presiden Majlis Perniagaan Malaysia Laos, Datuk Seri Matthew Yeoh Chin Chong, Laos menawarkan potensi besar dalam sektor ekonomi baharu disokong 60 peratus populasi berusia bawah 25 tahun.

Pada masa sama, Malaysia boleh memanfaatkan kelebihan Laos sebagai pintu masuk ke pasaran serantau dengan kedudukan strategiknya di tengah-tengah Sungai Mekong.

"Laos bersama Cambodia, Thailand, Myanmar dan Vietnam, mempunyai populasi lebih 200 juta penduduk di sepanjang jajaran Sungai Mekong, iaitu dua kali ganda saiz Filipina, memberi keyakinan melabur di situ. Bulan lepas juga keretapi berkelajuan tinggi dari China juga mula beroperasi menghubungkan Vientiane," katanya dalam sidang media, selepas menyaksikan pemeteraian 10 perjanjian persefahaman melibatkan syarikat tempatan dan Laos.

Antaranya perjanjian melibatkan iBees Capital bersama ALO Technologies berpangkalan di Vientiane bagi mewujudkan syarikat tujuan khas (SPV) Lao Digital Economy Corporation, LDEC.

LDEC akan menjadi badan bertindak utama bagi Lao Digital Park dan FinTech Valley, sebahagian daripada Pelan Pembangunan 5 Tahun Ekonomi Digital Laos.

 

Media Baharu