PUTRAJAYA, 11 Februari - Isu sekolah daif di seluruh negara akan diselesaikan.
Komitmen tersebut dizahirkan Kerajaan Perpaduan demi kebajikan anak-anak serta meningkatkan mutu pendidikan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menyenaraikan sekolah-sekolah daif untuk diperbaiki.

tumpuan khusus diberikan untuk memperbaiki semua sekolah daif di seluruh negara)
"Mana saja sekolah daif itu harus disenaraikan tanpa kira jenis sekolah tanpa kira daerah tanpa kira sesiapa pelajar itu.Tanggungjawab kita pada tahun ini kita akan pastikan tumpuan khusus untuk memperbaiki semua sekolah daif di negara kita.
"Jadi pendekatan saya adalah kita tidak peduli sekolah mana kalau sekolah itu tanggungjawab kerajaan, kita akan pastikan dan kita cuba perbaiki mulai belanjawan yang akan saya umumkan pada 24 haribulan ini nanti, InsyaAllah," katanya ketika berucap pada majlis minum petang bersama pemimpin kuil, di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut menyatakan penguasaan Bahasa Melayu turut perlu diperkasakan bagi memartabatkan Bahasa Kebangsaan.
"Kedudukan bahasa melayu itu adalah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Maka penguasaannya harus baik di kalangan semua rakyat, dan itu saya tidak marah langsung namun jika ada yang hendak menyatakan untuk kurang beri tumpuan kepada bahasa kebangsaan, saya tidak akan izinkan," katanya.