fb fb fb fb fb

Selesai di Kedah, PM meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri di Pulau Pinang

Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Khalifah Jelutong malam tadi.

GEORGE TOWN, 5 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Khalifah Jelutong malam tadi sejurus selesai Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat Kedah di Jitra.

Anwar tiba pada pukul 11 malam, disambut oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Perdana Menteri, yang mempunyai jadual padat di Perak dan Kedah meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni ribuan masyarakat setempat termasuk 121 pelajar tahfiz Madrasah Tahfiz Darul Ukasha dan Madrasah Pengajian Al-Ihsan

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan pemimpin nombor satu negara pada majlis itu, yang turut diserikan dengan cabutan bertuah dan pemberian duit raya kepada kanak-kanak.

Penolong Setiausaha Persatuan Khalifah Jelutong, Khairil Anuar Kamarudin berkata kehadiran Perdana Menteri adalah sesuatu diluar jangkaan dan ianya pasti membawa seribu satu kenangan untuk masyarakat di kawasan itu.

"Di kesempatan ini Persatuan Khalifah Jelutong ingin ucapkan terima kasih banyak kepada Perdana Menteri yang begitu menjiwai, menyantuni rakyat dengan banyak pengumuman serta insentif-insentif bagi mengurangkan beban rakyat," katanya.

Hari ini, jadual Perdana Menteri di Pulau Pinang akan bermula dengan Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Pemimpin Masyarakat Di Permatang Pauh diikuti Majlis Penutup Program MADANI Rakyat Zon Utara 2024 dan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Pulau Pinang di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini.

Seterusnya, beliau dijadualkan hadir ke Kenduri Aidilfitri Perpaduan di Galeri Pejuang Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam pada tengah hari.

ZEHRA BINTI ZAMBRI