fb fb fb fb fb

Selenggara sekolah, SK Jabi terima peruntukan RM300,000

POKOK SENA, 10 Jun- Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memberi komitmen dan keutamaan berkaitan pembangunan dan penyelenggaraan di sekolah-sekolah, seluruh negara.
 
Ini terutama bangunan sekolah yang daif dan memerlukan perhatian khusus.
 
Ke arah itu, KPM meluluskan peruntukan segera berjumlah RM300,000 kepada Sekolah Kebangsaan, SK Jabi di sini, bagi kerja-kerja penyelenggaraan bangunan.
 
Peruntukan tersebut diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selepas melakukan lawatan ke sekolah berkenaan, pagi tadi.

"Daripada awal memang komitmen kita sebagai kerajaan mengutamakan soal-soal pembangunan bangunan daif dan penyelenggaraan.

"Jadi pada pagi tadi, saya berkesempatan melihat keperluan dan juga penyelenggaraan sekolah di sini.

"Jadi di peringkat KPM kami setuju untuk meluluskan RM300,000 pada hari ini bagi membantu penyelenggaraan sekolah ini," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

(Fadhlina (kanan) pada sidang media di SK Jabi,
yang turut disertai Saifuddin Nasution (kiri)

Lawatan turut disertai Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin Nasution berkata, Kerajaan Persekutuan akan memastikan segala projek pembangunan yang telah diluluskan di negeri itu dapat dilaksanakan mengikut jadual.
 
Menurutnya, untuk tahun ini, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sejumlah RM1.6 bilion bagi melaksanakan 453 projek di Kedah.

Media Baharu