(Foto fail: Musthafa Kamal (kanan) dilaporkan hilang pada 12 Disember
selepas Muaz menyedari bapanya tiada di bilik hotel di Mekah)
BATU PAHAT, 10 Jun - Jemaah umrah Musthafa Kamal Abdullah, yang dilaporkan hilang di Mekah pada Disember lepas, disahkan telah meninggal dunia.
Perkara itu dimaklumkan anak sulungnya, Muhammad Nabel, 26, setelah menerima pengesahan mengenainya daripada Kedutaan Malaysia, kira-kira pukul 11.40 pagi semalam.
Beliau sekeluarga yang reda dengan pemergian ayahnya itu berkata solat jenazah ghaib ke atas jenazah yang merupakan guru sekolah itu akan diadakan di Masjid Jamek Sri Gading selepas solat Jumaat.
“Saya juga diberitahu oleh pihak kedutaan di sana semalam, yang ayah sebenarnya telah meninggal dunia pada 13 Februari lepas, selepas segala pengesahan biometrik serta pengurusan dan pengebumiannya selesai.
“Kini saya bersama ibu, adik beradik dan ahli keluarga yang lain hanya menunggu dokumen pengesahan kematian ayah, saya agak terkilan kerana baru sahaja diberitahu semalam susulan proses pengesahan kematian daripada pihak Arab Saudi yang mengambil masa lama,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Sri Gading, Batu Pahat.
Muhammad Nabel, yang bertugas di Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat, itu memaklumkan bahawa pihak Kedutaan Malaysia di sana juga baru mengetahui mengenai kematian ayahnya, kira-kira dua hari sebelum memberitahu keluarga.
(Muhammad Nabel menunjukkan gambar arwah bapanya Musthafa Kamal yang disahkan
meninggal dunia di Mekah ketika menunaikan umrah)
Selain, menunggu dokumen pengesahan kematian, mereka sekeluarga juga mahu mengetahui punca sebenar kematian ayahnya serta lokasi arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Beliau juga berhasrat membawa ibu dan empat adiknya untuk menziarahi pusara arwah ayahnya di Mekah dalam masa terdekat.
“Saya menganggap kejadian ini ada hikmah di sebaliknya dan bersyukur ayah meninggal dalam keadaan keadaan yang baik (berihram) serta dalam bulan yang baik (Rejab),” katanya.
Pada 6 Disember lalu, Musthafa Kamal, 49 berangkat ke Tanah Suci bersama seorang lagi anak, Muaz, 17, dan dua beranak itu sepatutnya dijadual pulang ke tanah air pada 18 Disember.
Bagaimanapun, dia dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas Muaz menyedari tiada di bilik hotel di Mekah.