fb fb fb fb fb

Selangor tutup semua tempat perkelahan, perkhemahan selama tujuh hari

(Foto FB Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor)

SELANGOR, 17 Disember- Semua tempat perkelahan dan perkhemahan di Selangor diarah tutup selama tujuh hari bermula hari ini, susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, awal pagi semalam.

Arahan penutupan itu dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor menerusi makluman ringkas di Facebook rasmi.

"Semua tempat perkelahan dan perkhemahan di negeri Selangor diarah tutup selama tujuh hari bermula 17 Disember 2022," menurut makluman itu.

Insiden sekitar 2.42 pagi Jumaat itu melibatkan runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.

Setakat ini, 12 orang dilaporkan masih hilang, manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dilakukan melibatkan pelbagai pihak termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).



(Foto fail)

Media Baharu