fb fb fb fb fb

Selangor mesyuarat khas teliti haramkan jual vape

Gambar hiasan

SHAH ALAM, 25 April - Kerajaan Negeri Selangor sedang meneliti secara menyeluruh keperluan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik (vape) di negeri ini.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata satu mesyuarat bersepadu akan diadakan dalam masa terdekat bersama Pejabat Datuk Menteri Besar Selangor serta Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi membincangkan perkara tersebut secara komprehensif.

"Mesyuarat ini akan turut melibatkan jabatan dan agensi berkaitan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bagi memastikan semua pandangan dan implikasi diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKNS memainkan peranan penting dalam mengawal selia pendaftaran produk merokok, kawalan pelabelan, pembungkusan, penjualan serta penguatkuasaan kawasan larangan merokok dan vaping.

Tambah beliau, ia selari dengan diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852].

Sementara itu, jelas Jamaliah, lesen perniagaan bagi penjualan peralatan elektronik di negeri ini dikawal selia oleh PBT.

"Dan buat masa ini, tiada lesen khusus dikeluarkan untuk penjualan rokok elektronik atau cecair vape.

“Perbincangan ini dijangka turut melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mendapatkan gambaran menyeluruh dari sudut penguatkuasaan, perundangan dan kesan sosioekonomi,” tambahnya.

Kerajaan Negeri Selangor, ujarnya, amat mengambil serius isu tersebut dan menegaskan bahawa sebarang keputusan akan dibuat berlandaskan kajian terperinci.

"Serta merangkumi kepentingan kesihatan awam, keberkesanan penguatkuasaan dan kesejahteraan rakyat.

“Saya menghargai keprihatinan semua pihak, termasuk cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, dan kita komited untuk meneliti isu ini secara menyeluruh dan inklusif,” tegas Jamaliah.

Pada 17 April lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan vape yang kini menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu.

GRACE AISYAH KEDAYAN