SHAH ALAM, 27 Julai -Kerajaan Negeri Selangor komited memacu inovasi dalam sektor penjagaan dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian yang mampan, mampu milik dan inklusif.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata, usaha itu dijangka bukan sahaja dapat memperkukuh ekonomi penjagaan, malah membuka lebih banyak peluang kerjasama dan perkembangan perniagaan untuk rakyat Selangor.
Justeru itu katanya, sebanyak 21 perniagaan dalam sektor penjagaan di Selangor menerima suntikan baharu menerusi program Selangor Care Accelerator (XCare) 2025 yang mula dilaksanakan sejak April lalu.
"Inisiatif ini digerakkan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Ekonomi Penjagaan, sebagai sebahagian usaha memperkasa ekosistem penjagaan negeri secara menyeluruh.
"Sepanjang program, peserta didedahkan kepada tujuh modul peningkatan perniagaan dan lima modul pitching, selain berpeluang menyertai lawatan industri dan bimbingan khas oleh enam mentor berpengalaman," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pertandingan Picthing peringkat Akhir dan Majlis Penutup XCARE 2025 di sini.
Pada majlis itu seramai 10 peserta terbaik mempersembahkan hasil latihan mereka dalam pertandingan akhir pitching.
Lima usahawan terbaik dipilih dan ditawarkan peluang mengikuti lawatan industri ke luar negara, selain menerima sijil penghargaan dan trofi.